
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)/AADK Daerah Pendang
PENDANG, 23 April (MalaysiaAktif) – Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Pendang terus memperkukuh peranan sebagai rakan strategik kerajaan dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah melalui pelbagai program pencegahan di peringkat akar umbi.

Usaha pendidikan dan pencegahan perlu bermula dari peringkat akar umbi.
Pengerusi PEMADAM Daerah Pendang Nasrun Dato’ Mohd Sheriff berkata pihaknya akan mempergiatkan penganjuran ceramah kesedaran, aktiviti komuniti serta menjalin kerjasama erat dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi tujuan itu.
“Kami juga akan berhubungan baik dengan pihak sekolah dan pertubuhan setempat bagi memastikan mesej antidadah sampai kepada golongan sasaran dengan lebih berkesan,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan PEMADAM Daerah Pendang 2026, di sini semalam.
Menurut beliau, ahli jawatankuasa yang dilantik diharapkan dapat memainkan peranan secara aktif, komited serta bertanggungjawab dalam melaksanakan program dan aktiviti pencegahan dadah di peringkat daerah.
“Setiap ahli jawatankuasa perlu bergerak sebagai satu pasukan yang padu dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan program kesedaran di semua lapisan masyarakat,” katanya.
Tambah beliau lagi, cabaran ancaman dadah masa kini semakin kompleks dengan kemunculan pelbagai jenis bahan terlarang serta pengaruh negatif yang tersebar melalui media sosial.
-RI





