
Laporan/foto:Erzufariza Z (Rompin)/Pejabat DUN Tioman
ROMPIN, 23 April (MalaysiaAktif) – Seramai 300 penerima daripada golongan sasar di tiga mukim dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman menerima bantuan makanan asas menerusi Program Khas Agihan Bakul Makanan Asas yang dilaksanakan, di sini kelmarin.

Mohd Johari, menyampaikan amanat penuh keprihatinan, menzahirkan komitmen memastikan tiada warga terpinggir dalam arus kehidupan.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada Program Bakti Negeri Pahang yang digerakkan oleh kerajaan negeri dalam usaha menyantuni serta membantu rakyat yang memerlukan melalui sumbangan kebajikan secara langsung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata usaha berterusan ini mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri yang sentiasa turun padang bagi memastikan kebajikan rakyat tidak terabai.
“Kerajaan negeri komited untuk memastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada menerima bantuan keperluan asas.
“Program seperti ini bukan sahaja meringankan beban, malah memberi sinar harapan kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif pada program berkenaan.

Mohd Johari menyerahkan sumbangan makanan asas kepada salah seorang penerima bantuan.
Beliau turut menegaskan bahawa, pendekatan menyantuni rakyat secara terus akan terus diperkasakan agar bantuan dapat disampaikan secara lebih berkesan dan menyeluruh.
Program yang diadakan di tiga lokasi iaitu itu Dewan MCA, Rompin; Dewan Kampung Parit Raja, Pontian, Kuala Rompin dan Dewan Kampung Pianggu, Endau Rompin dilihat sebagai langkah proaktif dalam meringankan beban rakyat, khususnya ketika berdepan cabaran ekonomi semasa termasuk kenaikan harga barangan dan ketidaktentuan rantaian bekalan global.
Bantuan yang disalurkan itu juga membuktikan bahawa kesejahteraan rakyat kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam memastikan kehidupan masyarakat terus terpelihara, walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa.
-RI






