Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Kolam Air Panas Paku Pacu Ekonomi Komuniti

By 1 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Loseyeffer Molly/Jackson Abell (Bau)

BAU, 1 April (MalaysiaAktif) – Kolam Air Panas Paku di Kampung Sibulung muncul sebagai destinasi rekreasi komuniti yang semakin mendapat perhatian pengunjung dari dalam dan luar daerah, menawarkan pengalaman rendaman air panas semula jadi yang dipercayai mampu melancarkan peredaran darah serta melegakan keletihan badan.

Pusat rekreasi ini diurus sepenuhnya oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setempat sebagai usaha memanfaatkan sumber semula jadi demi kesejahteraan bersama, dengan kemudahan struktur berbumbung yang luas untuk aktiviti mandi-manda tanpa mengira cuaca serta reka bentuk kolam berperingkat yang sesuai untuk kanak-kanak dan dewasa.

Aspek keselamatan diberi perhatian melalui penyediaan kemudahan tangga besi, laluan pejalan kaki serta ruang rehat yang mencukupi bagi keselesaan orang awam.

Air panas semula jadi yang mengalir di kolam ini dipercayai mempunyai pelbagai manfaat kesihatan.

Menurut seorang penduduk, Nina Alen, 50, kolam ini mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 2022 hasil kerjasama antara JKKK kampung dan Majlis Daerah Bau.

“Sejak dibuka, sambutan sangat menggalakkan terutama pada hujung minggu dan cuti umum. Ramai yang datang untuk berehat dan menikmati keunikan air panas semula jadi di sini,” katanya kepada Malaysia Akif, di sini semalam.

Menurutnya kehadiran pengunjung turut membuka peluang perniagaan kecil kepada penduduk setempat seperti jualan makanan dan minuman sekali gus meningkatkan pendapatan komuniti.

Produk pelancongan komuniti ini berpotensi besar menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat secara mampan pada masa hadapan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda