
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 16 April (MalaysiaAktif) – Sektor koperasi perlu diperkasa sebagai pemangkin utama ekonomi rakyat bagi membantu menjana pendapatan serta menangani kos sara hidup.
Ahli Parlimen Sri Aman Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata peranan koperasi kritikal dalam memacu pertumbuhan ekonomi inklusif melalui penciptaan peluang pekerjaan.
Beliau juga menegaskan kestabilan politik merupakan asas kekuatan ekonomi bagi memastikan perancangan pembangunan dilaksanakan secara berkesan.
“Dengan kestabilan dan dasar konsisten, pembangunan sektor koperasi dapat dijalankan secara menyeluruh,” katanya ketika merasmikan Program JOM@COOP – Turun Padang Memasyarakatkan Koperasi 2026 sempena Siri Platinum 70 Tahun Institut Koperasi Malaysia (IKMa), di sini hari ini.
Doris turut menyeru generasi muda melihat koperasi sebagai platform perniagaan masa depan yang mampan dan berdaya saing.
-RJ-





