
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)
SHAH ALAM, 22 April (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor memperkukuh pemerkasaan wanita melalui pelaksanaan petunjuk prestasi utama (KPI) melibatkan aspek kepimpinan, ekonomi, tenaga buruh serta pengarusperdanaan gender secara menyeluruh.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari, berkata pendekatan itu dilaksanakan melalui Wanita Berdaya Selangor bagi memastikan keberkesanan program yang dirancang.
“Pendekatan KPI ini dirangka secara komprehensif merangkumi aspek kualitatif dan kuantitatif bagi memastikan setiap inisiatif memberi impak sebenar kepada wanita di Selangor,” katanya semasa menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewnan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei di Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Menurutnya, antara KPI utama ialah sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan melalui program Sidang Wanita Selangor (SIWANIS).
Anfaal yang juga ADUN Taman Templer berkata mobiliti jawatan turut diukur melalui keupayaan graduan program seperti Akademi Kepimpinan Wanita dan SIWANIS mengisi peranan penting dalam komuniti setempat.
“Graduan program ini bukan sahaja dilatih, malah digilap untuk memegang jawatan seperti Ketua Kampung, Ahli Majlis dan pemimpin pertubuhan komuniti,” katanya.
Selain itu, peningkatan kemahiran ekonomi menjadi keutamaan dengan fokus membantu wanita khususnya golongan B40 menjana pendapatan mampan menerusi program Ushanita Digital dan PWB.
Tambah beliau, penyertaan tenaga buruh wanita juga menunjukkan perkembangan positif menerusi program latihan ‘Career Comeback’ dan penganjuran Karnival Kerjaya Wanita di seluruh negeri.
-RI





