
Laporan/foto: Linda Padan (Bintulu)
BINTULU, 22 April (MalaysiaAktif) — Pasar Pagi Bintulu terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin ekonomi komuniti apabila menjadi pusat pengumpulan, pengedaran dan jualan hasil segar yang memberi manfaat langsung kepada peniaga kecil serta penduduk setempat.
Dikenali juga sebagai pasar borong, lokasi ini bukan sahaja menjadi pilihan orang ramai mendapatkan barangan segar, malah turut membekalkan bahan mentah kepada peniaga kedai makan pada harga lebih berpatutan.
Pelbagai hasil boleh didapati termasuk sayur-sayuran, buah-buahan serta hasil laut dan sungai yang segar, selain jualan anak pokok, makanan sarapan pagi dan produk tempatan lain.
Menurut penjaja, Jani Melina, 54, beliau bersama suami memulakan rutin seawal 3 pagi bagi memastikan kualiti barangan berada dalam keadaan terbaik untuk dijual.
“Walaupun berniaga dalam waktu yang singkat, saya dan suami boleh menjana pendapatan harian sekitar RM100 hingga RM200, malah adakalanya mencecah RM300 hingga RM500 ketika musim buah,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini kelmarin.
Beliau berkata hasil jualan diperoleh sama ada daripada tanaman di kebun sendiri atau bekalan pihak lain yang secara tidak langsung mencipta rantaian ekonomi kecil dalam kalangan penduduk setempat.
-FN





