Skip to main content
Berita TimurBerita TempatanPahang

Piala PMX Pendekar MADANI Angkat Martabat Silat, Tarik Minat Generasi Muda

By 5 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Radiah Rahim (Pahang)

KUANTAN, 5 Apr (MalaysiaAktif) – Kejuaraan Silat Piala PMX Pendekar MADANI 2026 yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Indera Mahkota, kelmarin menjadi platform penting dalam memperkasa seni warisan bangsa serta membentuk jati diri generasi muda.

Perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kelmarin sekali gus menzahirkan komitmen kerajaan dalam memartabatkan seni silat sebagai identiti budaya dan medium pembangunan sahsiah belia.

Menurut wakil Seni Gayong Serantau Malaysia Terengganu Ahmad Tarmizi Ghazali silat merupakan platform terbaik dalam membentuk disiplin diri pelajar.

Mohd Rashidi (kanan) bersama rakan-rakan persilatannya.

“Silat ini sangat baik kerana dapat membentuk disiplin dalam kalangan pelajar. Selain itu, ia juga perlu dilaksanakan secara berterusan kerana pelajar berpeluang memperoleh markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan, dan Kokurikulum (PAJSK) yang lebih tinggi di peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, wakil Persatuan Seni Silat Segerak Malaysia Cawangan Pahang Mohd Rashidi Abdul Aziz berkata program berteraskan MADANI wajar diperluaskan khususnya kepada golongan muda.

“Program Pendekar MADANI ini sangat bagus dan perlu diperbanyakkan lagi untuk anak muda sebagai pewaris bangsa. Silat juga penting untuk memartabatkan warisan Melayu yang diwarisi sejak zaman nenek moyang,” ujarnya.

Nazreen (tengah) ceria bergambar kenangan bersama rakan sepasukan.

Bagi atlet mudayang juga pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan ahli Kelab Pencak Silat Srikala Satria UMPSA (SRIKALA) serta Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang Nazreen Md Nazrudin perkembangan silat kini semakin positif.

“Silat kini berkembang lebih jauh kerana ramai ikon negara berjaya menarik minat generasi muda untuk menceburi bidang ini,” katanya.

Kejuaraan ini dilihat bukan sahaja sebagai medan pertandingan, tetapi juga sebagai usaha berterusan dalam melahirkan generasi MADANI yang berdisiplin, berdaya saing dan berakar umbi kepada warisan budaya bangsa.

-RI

Tinggalkan komen anda