Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Hasbella Hasim (Kuala Kangsar)
KUALA KANGSAR, 18 April (MalaysiaAktif) – Keunikan laksa tepung gandum atau lebih dikenali sebagai Laksa Kuale yang sinonim di daerah Kuala Kangsar tidak perlu diperkenalkan lagi kerana juadah ini sudah mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Pengunjung boleh berkunjung ke restoran ini bagi menikmati laksa kuale
Penggemar laksa Yusna Sufian, 61, dari Kuala Lumpur, berkata dia wajib singgah untuk menikmati menu berkenaan setiap kali pulang ke kampungnya di Kuala Kangsar.
Menurutnya, kelainan yang ada pada laksa kuale, sama ada pada mi mahupun kuahnya menjadikan hidangan ini berbeza berbanding laksa Kedah yang lebih sinonim dengan laksa beras berkuah ikan pekat.
“Laksa kuale sangat signifikan dengan Kuala Kangsar dan sebagai penggemar laksa, saya amat menghargai keunikan yang ada pada laksa kuale.
“Saya juga sentiasa mengingatkan rakan pejabat agar mencuba laksa kuale jika datang ke Bandar Diraja ini, selain menegaskan bahawa ia tidak sama dengan laksa biasa di negeri lain,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, hari ini.
Sementara itu, pengusaha laksa, Saadiah Roszidi, 38, berkata laksa kuale diperbuat daripada tepung gandum yang menjadikannya lebih kenyal dan lembut.
“Setiap hari kami memproses laksa menggunakan bahan asas iaitu campuran tepung gandum dan air garam. Dahulu, laksa diproses secara tradisional dengan menggunakan alat untuk memulasnya, menyebabkan laksa tepung gandum ini turut dikenali sebagai laksa pulas.

Yusna (kanan) bersama anaknya menggemari laksa kuale
“Kini, penggunaan mesin lebih memudahkan, malah laksa juga dapat dihasilkan dalam kuantiti yang lebih banyak tanpa memerlukan tenaga kerja yang ramai,” ujarnya.
Beliau berkata segelintit pelanggan yang perama kali mencuba hidangan itu mungkin bakal berasa pelik dek tekstur mi yang kenyal selain kuah yang cair, namun pengusaha Restoran Warisan Pak Ngah Laksa itu memberi jaminan mereka kemudiannya pasti akan menyukainya.
“Selain dimakan bersama kuah, laksa tepung gandum ini juga boleh digoreng seperti mi atau kuetiau goreng,” katanya.
-AA-





