
Laporan/foto: M Zakry Chan/Facebook Ab Rauf Yusoh
SERKAM, 18 April (MalaysiaAktif) – Melaka mencatat satu lagi sejarah baharu dalam memperkasa ekosistem halal di negeri ini sempena Majlis Pecah Tanah Melaka Halal Hub 2.0, sekali gus menterjemahkan kesediaannya melangkah sebagai pemain utama dalam industri halal global.

Ucapan perasmian oleh Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh
Menurut Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, sejak tahun 2000, Melaka telah memulakan langkah awal dalam industri halal melalui pembangunan Melaka Halal Hub 1.0 di atas kawasan seluas 134 ekar sebagai platform untuk memperkasa usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan berjaya merekodkan pelaburan RM467 juta sehingga Mac lepas.
Beliau berkata pembangunan Melaka Halal Hub 2.0 bukan sekadar inisiatif kerajaan negeri, sebaliknya lahir daripada permintaan sebenar pelabur antarabangsa termasuk dari Jepun dan China yang melihat negeri tiu sebagai lokasi strategik untuk muncul sebagai hab halal serantau.

Taklimat pembangunan projek Melaka Halal Hub 2.0
“Melaka Halal Hub 2.0 dengan nilai pembangunan RM35 juta, dibangunkan di atas hampir 48 ekar, bukan sekadar projek fizikal tetapi sebuah lonjakan strategik. Projek ini dijangka menarik pelaburan sehingga RM100 juta serta berpotensi mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat Melaka.
“Projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2027 dan bakal dilengkapi dengan 64 unit kilang teres dua tingkat dan 17 lot industri, serta fasiliti moden yang memenuhi keperluan industri halal masa kini,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan.
-AA-





