
?Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)/IPD Mukah
MUKAH, 18 April (MalaysiaAktif) — Seorang lelaki tempatan ditahan di sebuah stesen minyak di sini semalam kerana disyaki memiliki dadah.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata suspek berusia 34 tahun ditahan selepas polis menyerbu tandas lelaki di premis berkenaan hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan satu keratan straw lutsinar dan satu lagi keratan straw berwarna merah jambu mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine.
“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas adalah 0.54 gram dan kesemuanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata buruh ladang sawit yang positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine itu kini direman sehingga 22 April bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-FN





