Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

LTSIP Bukan Sekadar Tampung Permintaan Kelantan, Sasar Peranan Serantau – Anwar

By 18 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aiman Alimin/Noor Haswan (Kelantan)

KOTA BHARU, 18 April (MalaysiaAktif) – Pembangunan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini dilihat bukan sekadar memenuhi permintaan tinggi negeri itu, sebaliknya berpotensi berkembang sebagai hab pengangkutan serantau jika dirancang secara strategik.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata pembangunan LTSIP bukan hanya memenuhi permintaan tinggi Kelantan malah berpotensi berkembang sebagai hab pengangkutan.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata ia termasuk menghubungkan selatan Thailand serta membuka jaringan ke destinasi utama seperti Singapura, Jakarta dan Bangkok.

“Seperti kita sedia sedar, selain daripada keperluan rakyat memanfaatkan kemudahan ini, adalah keperluan kita meningkatkan kegiatan ekonomi, perdagangan dan pelancongan.

“Dan potensi yang ada pada Kelantan itu, tidak mungkin terpinggir dan terabai jika kita memberikan sedikit perhatian dan tumpuan,” katanya ketika berucap merasmikan LTSIP, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Projek yang tertangguh dan terbatal sebentar itu diputuskan untuk disegerakan pelaksanaannya oleh Kerajaan MADANI pada 2023 dengan menelan kos RM440 juta.

Perdana Menteri berkata pembangunan LTSIP bukan sahaja meningkatkan kecekapan perkhidmatan, malah menampilkan reka bentuk moden dengan elemen seni bina Melayu sebagai identiti negeri Kelantan.

“Lapangan terbang ini memang, saya datang tahun lalu pun memang luar biasa, di antara yang indah, moden dan seni dia ada kalau nak lihat airport dengan seni Islam dan seni Melayunya, datanglah ke Kota Bharu,” katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai berkunjung ke Kelantan bagi merasai sendiri kemudahan dan prasarana moden yang disediakan di lapangan terbang berkenaan.

Anwar (tengah) ketika bergambar di balai Pelepasan LTSIP.

Sementara itu, Loke berkata penaiktarafan LTSIP mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem pengangkutan udara secara inklusif dan mampan, di samping merangsang pertumbuhan ekonomi setempat khususnya dalam sektor pelancongan dan perdagangan.

Beliau memaklumkan, terminal baharu yang diperluaskan hampir tiga kali ganda daripada 12,000 meter persegi kepada 36,000 meter persegi kini berupaya menampung sehingga empat juta penumpang setahun, berbanding kapasiti asal 1.5 juta penumpang.

Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) menandakan satu pencapaian penting dalam usaha Kerajaan memperkukuh infrastruktur pengangkutan udara negara, sekali gus mengangkat Kota Bharu sebagai gerbang utama Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

-FN

Tinggalkan komen anda