
Laporan/foto: Herlina Ainizawati Zakaria/Hazlina Tajuddin (Shah Alam)
SHAH ALAM, 4 April (MalaysiaAktif) – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari akan mewakili Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 yang dijadual berlepas esok.
Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor pada Jumaat, misi berkenaan membawa 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin yang berdepan situasi semakin meruncing di Gaza.
Amirudin turut bertanggungjawab memastikan pelepasan kontena bantuan di Kaherah berjalan lancar serta mengetuai sidang khas di Pintu Sempadan Rafah bagi menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap isu kepungan Gaza.
Selain itu, beliau juga akan memantau pelepasan Delegasi Sumud Nusantara di Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.
“Dengan tugasan mencabar dan penuh risiko ini, dimohon seluruh warga Selangor dan Malaysia mendoakan agar misi Malaysia yang akan diketuai oleh YAB Menteri Besar Selangor serta setiap petugas berjalan sempurnanya dan selamat.
“Selangor dan Malaysia akan terus menegaskan dan menegakkan keadilan bagi nasib warga Palestin yang masih dikepung dan dizalimi rejim Zionis Israel,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Amirudin menerusi hantaran di Facebook rasminya berkata misi tersebut digerakkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Cinta Gaza Malaysia serta badan bukan kerajaan (NGO) rakan strategik sebagai usaha bersama menyampaikan bantuan dan solidariti kepada rakyat Palestin.
“Saya mohon doa seluruh rakyat Malaysia agar misi ini berjaya, urusan kami dipermudahkan serta semua yang terlibat sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT. Insya-Allah. Free Palestine!”,” katanya.
-RI





