
Laporan/foto: Azrul Azham (Jerantut)
JERANTUT, 20 April (MalaysiaAktif) – Seramai 40 orang mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu berkampung selama empat hari di Felda Kota Gelanggi 1 dan 3 bagi menjayakan Program Misi Kasih Keluarga MAMPAN Apresiasi Pahang1st 2026.

Saat-saat akhir para peserta bersama keluarga angkat masing-masing sebelum bertolak pulang ke UniSZA
Program anjuran Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang dan Yayasan Pahang bermula Khamis hingga Ahad lepas itu bertujuan memperkasa jati diri mahasiswa melalui aktiviti kesukarelawanan, selain memberi pendedahan kepada mereka mengenai realiti sosial dan budaya masyarakat setempat.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Norsarfinaz Mohd Azman dalam ucapannya memuji komitmen para mahasiswa yang sanggup meninggalkan zon selesa demi menimba pengalaman di kawasan rancangan Felda.
“Pengisian program ini adalah manifestasi keprihatinan generasi muda terhadap denyut nadi rakyat, selaras dengan inisiatif Pahang1st yang mahu memastikan tiada golongan terpinggir daripada manfaat pembangunan negeri,” katanya ketika merasmikan majlis penutup program tersebut, di sini semalam.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Norsarfinaz Mohd Azman (dua dari kanan) ketika hadir pada majlis penutup program tersebut
Sepanjang program berlangsung, pelajar ditempatkan bersama keluarga angkat masing-masing.
Salah seorang peserta, Muhammad Haikal Abu Bakar, 21, pengalamannya berkampung bersama masyarakat setempat memberi peluang kepadanya untuk menjadi jambatan antara penduduk dan kerajaan.
Beliau komited untuk membawa isu fasiliti setempat seperti kerosakan tandas awam dan gelanggang futsal ke pengetahuan pihak atasan bagi memastikan keselesaan warga Felda Kota Gelanggi terus terbela.
-AA-





