
Laporan/foto: Herlina Ainizawati Zakaria/Hazlina Tajuddin (Selangor)
SHAH ALAM, 20 April (MalaysiaAktif) — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan kerajaan negeri membuat persiapan awal bagi mendepani cabaran konflik Asia Barat.
Baginda bertitah kesepakatan antara pemimpin dan rakyat juga penting bagi memastikan cabaran dapat dihadapi secara berkesan berlandaskan perpaduan dan persefahaman, walaupun berbeza kaum, agama dan budaya.
“Pemimpin masyarakat dan ahli politik perlu menyumbang kepada usaha membantu rakyat dan tidak bersifat mengambil kesempatan atas krisis ini sehingga boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat,” titah Baginda semasa Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 tahun 2026, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menasihatkan semua pihak supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah susulan tekanan ekonomi semasa.
Baginda bertitah, kenaikan harga minyak dan gas dunia serta kekurangan bekalan akibat konflik di Timur Tengah memberi kesan langsung kepada negara, termasuk peningkatan kos bahan api dan harga barangan keperluan yang akhirnya membebankan rakyat.
Sehubungan itu, baginda menitahkan kerajaan negeri supaya memberi keutamaan kepada perbelanjaan keperluan asas bagi meringankan beban rakyat.
“Segala bentuk pembaziran hendaklah dielakkan dan setiap sen yang dibelanjakan mestilah memberi faedah sepenuhnya kepada rakyat terutama yang teruk terjejas dan memerlukan bantuan, kebajikan rakyat hendaklah sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan dasar negeri,” titah Baginda.
Pada masa sama, Baginda turut bertitah agar Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan baginda dilaksanakan secara sederhana dan tidak berlebihan.
“Beta mahu peruntukan sambutan Jubli Perak yang telah dijimatkan dari pengurangan program ini digunakan bagi membantu rakyat yang susah dan jangan sekali-kali digunakan untuk maksud lain,” titah Baginda.
-FN





