
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 20 April (MalaysiaAktif) – Pengalaman lebih dua dekad sebagai pemandu van jenazah menjadikan seorang warga emas di sini lebih mendalami erti kehidupan di samping menguatkan semangat melaksanakan amanah fardu kifayah.
Hassan Suhaili, 76, berkata tugas menguruskan jenazah merupakan tanggungjawab besar yang dipikul bersama pasukan kariah masjid.
Beliau menjelaskan sepanjang tempoh tersebut tiada sebarang peristiwa aneh berlaku sebaliknya semua urusan berjalan dengan baik hasil kerjasama semua pihak terlibat.
“Saya sangat bersyukur dapat berkhidmat dalam urusan ini kerana ia banyak mendidik hati saya tentang erti kehidupan yang sebenar,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman kepada Malaysia Aktif pada hari ini.
Pesara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sri Aman itu memberitahu tugas pengurusan jenazah menuntut kesiapsiagaan sepanjang masa tanpa mengira waktu atau hari cuti.
Beliau menjelaskan adakalanya panggilan diterima seawal 3 pagi bergantung kepada keadaan serta permintaan waris sama ada untuk dibawa ke rumah atau terus ke tanah perkuburan.
Hassan dibantu beberapa anggota kariah termasuk Julkipli Mahmud dan Nusi Ayub dalam melaksanakan proses memandikan serta mengkafankan jenazah mengikut tuntutan syarak.
“Melihat kematian menjadikan hati lebih lembut serta mengajar kita untuk tidak sombong kerana akhirnya kita semua akan kembali kepada pencipta dengan membawa amal kebaikan,” ujarnya.
Hassan menyeru golongan muda agar tidak takut menyertai pasukan pengurusan jenazah kerana ia merupakan amanah mulia yang memberi ketenangan kepada keluarga si mati.
Beliau berharap lebih ramai anak muda tampil membantu bagi memastikan tuntutan fardu kifayah dalam masyarakat dapat dilaksanakan dengan sempurna pada masa hadapan.
-RJ-





