
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 19 April (MalaysiaAktif) – Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) digesa agar lebih proaktif dalam memantau kemudahan pili bomba di kawasan masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor berkata tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab menutup pili bomba dengan simen amat dikesali.
“Tindakan ini menyukarkan anggota penyelamat menjalankan tugas semasa kecemasan. Bomba terpaksa mendapatkan bekalan air dari punca yang jauh akibat tekanan air rendah serta kegagalan fungsi pili bomba berhampiran lokasi kejadian.
“Saya mohon kerjasama semua KMKK dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memastikan kemudahan memadam api sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya selepas meninjau lokasi kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah di Kampung Hulu, hari ini.
Laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak menyatakan kebakaran pada 3.18 pagi semalam itu melibatkan dua rumah jenis separuh kekal yang musnah sepenuhnya namun tiada kecederaan dilaporkan.
Dayang Noorazah turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebagai bantuan segera kepada mangsa selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan bantuan keperluan asas merangkumi bekalan makanan, tilam, selimut serta kit kebersihan.
Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) akan menyelaraskan urusan dokumentasi permohonan Bantuan Ehsan Kebakaran Rumah (BEKR) bagi membantu proses pemulihan mangsa.
-RJ-






