Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Mersing Buka Tirai Musim Pelancongan 2026, Sasar Kelestarian Ekosistem Marin

By 6 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahairi Ahmad Zabidi/Mohd Hanif Ahmad (Mersing)

MERSING, 6 April (MalaysiaAktif) – Daerah Mersing secara rasmi memulakan musim pelancongannya bagi tahun 2026 melalui penganjuran Program Pembukaan Aktiviti Pelancongan di Jeti Penumpang Mersing, di sini semalam.

Program yang menjadi simbolik bermulanya aktiviti rekreasi laut dan pulau itu menarik kehadiran kira-kira 1,000 pelancong.

Nurazlin Abu Talib bersama Tpr. Abdul Karim Bakar menyampaikan cenderahati kepada pelancong di Jeti Penumpang Mersing.

Menurut Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Johor Nurazlin Abu Talib pembukaan semula industri pelancongan di daerah tersebut memberi isyarat positif terhadap pemulihan dan kerancakan ekonomi setempat.

“Program ini merupakan sebahagian daripada pengisian agenda Visit Johor 2026 dengan sokongan padu daripada Tourism Johor bagi memperkukuh kedudukan negeri sebagai destinasi pelancongan utama yang berdaya saing.

“Bagi memastikan keindahan biodiversiti marin Mersing kekal terpelihara, pihak berkuasa menekankan pelaksanaan konsep carrying capacity atau daya tampung pelancong yang lebih ketat pada musim ini,” katanya kepada media.

Program Pembukaan Aktiviti Pelancongan Daerah Mersing 2026 sebahagian daripada pengisian kalendar Visit Johor 2026 yang disokong penuh Tourism Johor.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing (MDM) Abdul Karim Bakar berkata had operasi bot ditetapkan kepada 50 buah sehari pada hari biasa dan maksimum 70 buah pada musim puncak.

“Sistem penggiliran pulau juga dilaksanakan bagi mengelakkan kepadatan melampau dan pelancong diwajibkan menggunakan khidmat operator berlesen serta mematuhi pemakaian gelang Sistem Tiket Dalam Talian Mersing (MeTOS).

“Langkah kelestarian ini diambil bagi mengelakkan pencemaran serta kerosakan ekosistem marin, sekali gus memastikan khazanah alam daerah ini dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda