Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

NADI Bukan Sekadar Salur Maklumat, Jadi Pemangkin Idea – Fahmi

By 20 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

SEGAMAT, 20 April (MalaysiaAktif) – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kini berperanan bukan sahaja sebagai medium penyampaian maklumat, malah menjadi platform pencernaan idea serta pendekatan baharu dalam kaedah komunikasi kepada masyarakat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pelbagai isu yang berlegar di media sosial ketika ini memerlukan penyampaian yang lebih berkesan dan santai, sekali gus menjadikan NADI sebagai satu kuasa baharu dalam menggabungkan maklumat dengan gaya penyampaian yang lebih menarik.

Beliau berkata semua NADI disaran bekerjasama rapat dengan Jabatan Penerangan (JAPEN) serta komuniti setempat bagi meningkatkan tahap pemahaman masyarakat terhadap isu-isu semasa.

“Semua pihak perlu memahami isu semasa, sama ada yang bersifat sementara atau berpanjangan. Dengan fakta yang jelas serta gaya penyampaian yang mudah, kita berharap isu-isu ini dapat diredakan dan diperbetulkan sekiranya wujud salah persepsi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan acara debat ala Parlimen dalam Program Jiwa@Komuniti MADANI di NADI Felda Midoi sempena lawatan kerjanya, di sini semalam.

Acara debat berkenaan melibatkan penyertaan Ketua-Ketua Komuniti MADANI daerah Segamat dengan tajuk “Malaysia Teguh Hadapi Krisis Tenaga Global – Fakta Yang Rakyat Perlu Tahu”.

Sementara itu,Pengerusi Komuniti MADANI Gemas Baru Ernie Yanti Mohmud berkata program debat ala Parlimen itu memberi pengalaman bermanfaat serta membuka minda peserta.

Beliau berkata perbincangan tertumpu kepada isu krisis global khususnya di Selat Hormuz yang memberi kesan terhadap bekalan serta harga diesel dan petrol dunia.

“Program seperti ini diharap dapat diteruskan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu semasa serta menggalakkan pemikiran kritis dalam kalangan peserta,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda