Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Cakna Kesihatan: Pemeriksaan Berkala Kunci Pencegahan Awal

By 20 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ahmad Shazni Shaari/Naqiah Abdul Malik (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 20 April (MalaysiaAktif) – Penduduk bandar perlu lebih cakna akan status kesihatan dengan melakukan pemeriksaan berkala sebagai tindakan awal bagi mengelak sebarang kemudaratan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pemerhatian lebih perlu diberikan kepada penyakit ‘tiga serangkai’ ( gabungan tiga penyakit kronik utama iaitu kencing manis (diabetes), darah tinggi (hipertensi), dan kolesterol tinggi).

“Kesedaran awal dan tindakan segera dalam menangani penyakit “Tiga Serangkai” perlu diberi keutamaan oleh komuniti setempat.

“Ini bagi membantu pencegahan komplikasi serius dan pengurusan gaya hidup sihat yang lebih baik dapat diamalkan,” katanya berucap merasmikan Majlis Kempen Kesedaran Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM) 2026 di IWK Eco Park @ Pantai Dalam, Kuala Lumpur, di sini kelmarin.

Kempen anjuran Fakulti Farmasi Universiti Malaya ini melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP), Zon Lembah Pantai.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Universiti Malaya, Profesor Dr. Hasniza Zaman Huri berkata kempen berkenaan kesinambungan kejayaan penganjuran tahun lalu yang berjaya menarik lebih 500 peserta dan menerima maklum balas positif daripada komuniti setempat.

“Bagi tahun 2026, pendekatan yang lebih menyeluruh diperkenalkan dengan menekankan bukan sahaja kesedaran, tetapi juga tindakan susulan terhadap kes kesihatan yang dikesan.

“Inisiatif ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan masyarakat, di samping membantu meningkatkan tahap kesihatan awam khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda