Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

YPM Rai 715 Pelajar Cemerlang SPM 2025, Perkasa Modal Insan Terengganu

By 22 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 22 April (MalaysiaAktif) – Seramai 715 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 diraikan dalam Majlis Penghargaan Straight A anjuran Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) sebagai tanda pengiktirafan terhadap pencapaian akademik luar biasa mereka.

Majlis yang berlangsung di Taman Tamadun Islam, di sini itu menghimpunkan pelajar terbaik dari seluruh negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato’ Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan yang merasmikan program tersebut semalam, menegaskan komitmen berterusan YPM dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dalam memperkasa pembangunan pendidikan serta melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia.

Menurut beliau, penganjuran majlis seumpama ini bukan sahaja menghargai kejayaan pelajar, malah menjadi pemangkin semangat untuk mereka terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan.

“Program ini selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan modal insan melalui pengiktirafan akademik serta galakan berterusan kepada pelajar untuk mencapai kejayaan lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut berharap para pelajar mampu memanfaatkan kemajuan teknologi secara bijak dan beretika bagi meningkatkan ilmu serta daya saing dalam dunia kerjaya yang semakin mencabar.

Dalam masa sama, mereka diseru agar kembali menyumbang kepada masyarakat dengan ilmu, kepakaran dan khidmat bakti demi kesejahteraan ummah serta pembangunan negeri.

-AA-

Tinggalkan komen anda