Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Pasukan Kebudayaan SK Ulu Sungai Merah Cipta Nama Peringkat Negeri

By 23 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zaini Morshidi (Sibu) / SK Ulu Sungai Merah

SIBU, 23 April (MalaysiaAktif) – Pasukan kebudayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sungai Merah mencipta pencapaian tersendiri apabila berjaya mewakili daerah Sibu ke peringkat Negeri Sarawak dalam Pertandingan Tarian Sekolah-Sekolah Malaysia (TA’SEEM) 2026, 13 hingga 16 April lepas.

Penolong Kanan Pentadbiran sekolah itu, Bibi Salim berkata, peluang beraksi di peringkat negeri memberi pengalaman berharga kepada murid dalam memperkasa jati diri serta memartabatkan seni Irama Malaysia.

“Usaha gigih murid bersama bimbingan guru dan sokongan ibu bapa menjadi kunci untuk melangkah ke peringkat ini, sekali gus memastikan warisan budaya terus subur dalam kalangan generasi muda,” katanya kepada Malaysia Aktif, semalam.

Pasukan berkenaan layak ke peringkat negeri selepas menjuarai pertandingan TA’SEEM peringkat Daerah Sibu pada 1 April lalu, selain turut meraih beberapa anugerah seperti Busana dan Tatarias Terbaik serta Susunan Muzik Terbaik.

Mereka turut menunjukkan kreativiti tinggi apabila memenangi anugerah Koreografer Terbaik serta Penari Wanita dan Lelaki Terbaik bagi kategori Irama Malaysia di peringkat daerah.

Seramai 10 penari mewakili sekolah tersebut ke pertandingan peringkat negeri yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sarawak, Miri pada pertengahan April.

Walaupun tidak berjaya meraih kemenangan di peringkat negeri, penyertaan itu tetap memberi pendedahan dan pengalaman berharga kepada murid dalam arena seni tari.

Pihak sekolah berharap pengalaman tersebut dapat menjadi pemangkin kepada murid lain untuk terus menceburi bidang kesenian serta menghargai warisan budaya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda