
Laporan/foto:Akmar Zulkifli (Pahang)
KUANTAN, 9 April (MalaysiaAktif) – Mangrove Boardwalk Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) kini semakin mendapat perhatian selepas tular di media sosial sejak beberapa hari kebelakangan ini susulan pendedahan meluas di platform digital.

Papan tanda infografik berkaitan akar pokok bakau juga disediakan untuk informasi pengunjung.
Menurut Ketua Pegawai Perhubungan Awam MBK Hani Syazani Kamarudin Arifin, pembinaan fizikal boardwalk (pelantar laluan) ini telah dimulakan secara rasmi pada 17 Februari 2025 dan siap sepenuhnya pada 7 Julai 2025 sebelum dibuka kepada orang awam pada 1 Ogos 2025.
“Boardwalk ini dibina dengan panjang keseluruhan kira-kira 60 meter (m) dan direka khas merentasi zon hutan paya bakau tanpa menjejaskan struktur akar pokok, selaras dengan objektif pemuliharaan di bawah program kelestarian bandaraya,” katanya ketika dihubungi Malaysia Aktif semalam.
Tambah beliau, pembangunan pelantar laluan bakau MBK bukan sahaja menyediakan ruang rekreasi kepada masyarakat, malah berperanan sebagai platform pendidikan dan penyelidikan berkaitan biodiversiti.
Antara objektif utama pembinaan adalah untuk melindungi habitat bakau tempatan dengan memastikan kelestarian pelbagai spesies flora dan fauna daripada gangguan aktiviti manusia secara langsung.
Kawasan itu juga katanya turut dijadikan pusat pembelajaran biodiversiti bandaraya serta hub rujukan lapangan kepada pelajar, penyelidik dan orang awam.
“Boardwalk ini juga berfungsi sebagai platform pemantauan ekosistem berimpak rendah, membolehkan aktiviti penyelidikan dan pemantauan berkala dijalankan tanpa menjejaskan integriti fizikal hutan paya bakau,” katanya.
Dalam pada itu, MBK turut merancang beberapa inisiatif baharu bagi memperluas potensi kawasan tersebut, termasuk cadangan membina sambungan koridor hijau yang akan menghubungkan kawasan pelantar laluan ke Taman Esplanade Kuantan.
“Projek ini bertujuan mewujudkan laluan pejalan kaki yang berterusan sepanjang pesisir sungai, sekali gus memudahkan akses orang awam dari kawasan hutan paya bakau ke zon rekreasi bandar,” katanya.
Selain itu, program penanaman pokok bakau bersama pelbagai agensi juga akan dipergiat sebagai usaha memperkukuh integrasi antara aktiviti rekreasi dan pemuliharaan alam sekitar.
-RI





