
Laporan/foto: Faizzad Kamal (Batang Padang)
TEMOH, 9 April (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Sejahtera Agro Negeri Perak 2026 @ DUN Ayer Kuning di Dewan Haji Tahir, di sini menjadi pemacu utama dalam usaha memodenkan sektor agromakanan negeri agar lebih mampan dan berdaya saing.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak Dato’ Mohd Zolkafly Harun berkata program tersebut merupakan inisiatif berimpak tinggi kerajaan negeri bagi memperkasa komuniti petani, penternak serta usahawan agro.
Beliau berkata platform tersebut bukan sahaja menyalurkan teknologi dan ilmu, malah menyediakan sokongan strategik bagi meningkatkan produktiviti sektor agro tempatan, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi luar bandar.
“Penganjuran program ini mencerminkan usaha bersepadu dalam memastikan keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat terus dipelihara, selari dengan aspirasi pembangunan negeri Perak yang progresif dan inklusif,” katanya ketika menyempurnakan perasmian program tersebut, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Haji Tahir Roslie Ilyas berkata inisiatif itu memberi manfaat besar kepada penduduk setempat, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Menurutnya, pengusaha nelayan, pekebun dan usahawan agro kini mempunyai peluang untuk mendapatkan maklumat serta khidmat nasihat secara terus daripada pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan.
Hadir sama, Pegawai Daerah Batang Padang Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Dr Mohamad Yusri Bakri.
-FN





