Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Rezeki Kemarau Untuk Pengusaha ‘Ikan Bekok’ Kampung Geting

By 9 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: M. Anizan Mat Daud (Tumpat)

TUMPAT, 9 April (MalaysiaAktif) – Musim kemarau yang melanda Kelantan sejak beberapa bulan lalu memberi kelebihan kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) ‘ikan bekok’ (ikan jeruk) dan ikan kering di Kampung Geting, di sini khususnya di kawasan pesisir pantai dan muara Sungai Kelantan.

Tuan Rahimah pemilik dan pengusaha ikan bekok dan ikan kering Kampung Geting, Tumpat.

Cuaca panas memudahkan proses pengeringan sekali gus mempercepatkan pengeluaran produk ‘ikan bekok’ dan ikan kering berbanding musim biasa yang menjadi sumber pendapatan penting penduduk setempat.

Seorang pengusaha, Rahimah Ku Mat, 55, berkata musim kemarau membolehkan ikan segar diproses dalam tempoh singkat, malah proses menjemur hanya mengambil masa kurang sehari.

“’Ikan bekok’ diperap terlebih dahulu sebelum dijemur kurang satu jam bagi mendapatkan tekstur dan rasa yang berkualiti. Ikan gelama dan ikan cencaru menjadi bahan utama penghasilan ‘ikan bekok’ kami,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.

Beliau turut memaklumkan perniagaan kecil-kecilan itu menerima sokongan berterusan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Pejabat Perikanan Tumpat, termasuk bantuan tong fiber, peti sejuk beku serta pembinaan gerai.

Ikan kering yang dijemur.

Sementara itu, seorang pelanggan tetap, Faziah Mohamed, 42, menyifatkan ‘ikan bekok’ keluaran tempatan segar, bersih dan tidak terlalu masin, menjadikannya pilihan utama keluarga.

Rata-rata pelanggan terdiri daripada penduduk sekitar Kampung Geting serta kawasan lain di daerah Tumpat, sekali gus membuktikan produk tradisional ini terus mendapat permintaan.

-RI

Tinggalkan komen anda