Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Pecah Amanah: Dua Kerani Syarikat Timbang Sawit Ke Penjara

By 22 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)/IPD Mukah

MUKAH, 22 April (MalaysiaAktif) — Dua kerani syarikat timbang sawit mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini semalam atas tiga pertuduhan pecah amanah berjumlah RM29,480.60 yang dilakukan antara Januari hingga Mac lepas.

Tertuduh, Manissha Mila Jilium dan Kusmawati Udin yang kedua-duanya berusia 26 tahun itu dihukum penjara satu tahun bagi setiap pertuduhan yang akan berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan penyelewengan dengan menghasilkan sebanyak 26 tiket timbang palsu serta dokumen boucar bayaran palsu bagi tujuan mendapatkan wang syarikat.

“Pihak syarikat yang turut mengesan kehilangan wang tunai runcit (petty cash) telah membuat laporan polis sebelum tangkapan ke atas kedua-dua wanita berkenaan dilakukan pada Selasa lepas,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Beliau berkata tertuduh berdepan pendakwaan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun, sebatan serta denda.

Dalam pada itu, Muhamad Rizal menasihatkan semua organisasi agar memperketatkan sistem kawalan dalaman kewangan bagi mengelakkan kejadian pecah amanah.

“Langkah seperti pelaksanaan audit berkala serta pemantauan yang teliti terhadap transaksi kewangan amat penting bagi memastikan integriti pengurusan kewangan syarikat terus terpelihara,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda