
Laporan/foto: Sarah Nur (Perak)/Politeknik Ungku Omar
IPOH, 15 April (MalaysiaAktif) – Pelajar Diploma Seni Bina Politeknik Ungku Omar (PUO) Muhamad Haikal Haqimi Nizam dinobatkan pemenang Anugerah TVET STAR POLYCC 2025 bagi Kategori Kemahiran, kelmarin.
PUO dalam satu kenyataannya semalam memaklumkan Muhamad Haikal Haqimi, 21, dipilih berdasarkan rekod pencapaian cemerlang menerusi penglibatan dalam pertandingan kemahiran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Nama Muhamad Haikal Haqimi kini menjadi penanda aras baharu buat pelajar TVET di seluruh negara
Antara kejayaan utama beliau termasuk meraih pingat emas dalam Polyccskills 2025 Digital Construction dan Built Environment Project ProAlbi 2024.
“Kejayaan ini bukan milik saya seorang, tetapi hasil bimbingan pensyarah di PUO dan sokongan keluarga.
“Saya mahu membuktikan bahawa pelajar TVET mempunyai kemahiran yang setanding dengan standard global,” menurut kenyataan itu.
Selain aktif dalam aktiviti kokurikulum, Muhamad Haikal Haqimi juga merupakan pelajar cemerlang akademik dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.80.
Beliau juga mahir mengendalikan perisian berteknologi tinggi seperti Revit, AutoCAD, SketchUp dan D5 Render yang merupakan tuntutan utama dalam industri pembinaan moden.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa Muhamad Haikal Haqimi merupakan finalis anugerah berprestij Asia Young Designer Awards (AYDA), satu pencapaian yang membanggakan bagi pelajar di peringkat diploma.
Sementara itu, Pengarah PUO Dr Salmi Che Meh, berkata pencapaian tersebut membuktikan pelajar institusi itu bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki kemahiran praktikal bertaraf industri.
-AA-





