
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 15 April (MalaysiaAktif) – Penggunaan Sistem Pemantauan Operasi Tugas (SPOT-Me) berperanan penting dalam memastikan tahap disiplin dan produktiviti penjawat awam di negeri ini terus terpelihara.
Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) Farah Hanani Mohd Lazim berkata sistem tersebut mewajibkan setiap kakitangan membuat pendaftaran masuk secara digital bagi memantau kehadiran serta pergerakan tugasan secara masa nyata.

Bekerja dari rumah tidak menjejaskan produktiviti penjawat awam di Johor apabila mereka masih lagi wajib melaksanakan tugasan hakiki dan merekodkan setiap aktiviti tugasan serta pergerakan harian
Menurutnya, SPOT-Me bukan sekadar merekod kehadiran harian, malah berfungsi sebagai log aktiviti sepanjang waktu bekerja.
“Setiap jam kami perlu mendaftarkan pergerakan serta mencatat tugasan yang dilaksanakan bagi memastikan pelaporan kerja lebih telus dan tersusun,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini hari ini.
Bertugas di bahagian kewangan, Farah Hanani berkata perancangan awal dilaksanakannya bagi memastikan kelancaran urusan kerja tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan.
Tambah beliau, tugasan di pejabat akan diselesaikan terlebih dahulu sebelum membawa pulang dokumen berkaitan untuk semakan lanjut di rumah.
“Sementara menunggu proses kemas kini sistem, saya melakukan semakan dokumen yang boleh dilaksanakan dari rumah dengan menggunakan capaian internet sendiri bagi memastikan tugasan terus berjalan lancar,” katanya.
-AA-





