Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Permata Alam Semula Jadi: Taman Negeri Rompin Tarik Pencinta Alam

By 3 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Erzufariza Z (Rompin)/Taman Negeri Rompin

ROMPIN, 3 Apr (MalaysiaAktif) – Taman Negeri Rompin terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi ekopelancongan utama negara yang menawarkan keindahan hutan hujan tropika yang masih terpelihara.

Terletak di sempadan negeri Pahang dan Johor, kawasan ini merangkumi sebahagian daripada Hutan Simpan Endau-Rompin yang terkenal dengan kepelbagaian biodiversiti yang unik.

Taman Negeri Rompin yang dipercayai berusia lebih dari 130 juta tahun menyimpan pelbagai khazanah alam yang tidak ternilai buat Negeri Pahang.

Dengan keluasan lebih 80,000 hektar di bahagian Pahang, Taman Negeri Rompin menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna yang jarang ditemui, termasuk pokok-pokok purba, tumbuhan ubatan serta haiwan liar seperti gajah, harimau dan tapir, sekali gus menjadikannya sebagai lokasi penting bagi penyelidikan saintifik serta pemuliharaan alam sekitar.

Selain nilai biodiversiti yang tinggi, Taman Negeri ini turut menawarkan pelbagai tarikan semula jadi yang memukau pengunjung.

Antaranya termasuk Air Terjun Mahkota yang jernih, sungai dan jeram yang mengalir deras serta formasi batuan unik yang terbentuk sejak 130 juta tahun lalu.

Aktiviti seperti merentas hutan (jungle trekking), berkhemah dan pemerhatian hidupan liar menjadi antara pilihan utama pelancong yang ingin merasai pengalaman mendekati alam semula jadi.

Menurut Pegawai Hutan Daerah Rompin Firdaus Zulnaim Johari, usaha pemuliharaan yang berterusan menjadi keutamaan dalam memastikan khazanah alam ini terus terpelihara untuk generasi akan datang.

“Pihak berkuasa turut bekerjasama dengan komuniti Orang Asli setempat dalam mempromosikan ekopelancongan secara lestari, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar”, katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman unik bersama komuniti Orang Asli, termasuk mempelajari cara hidup tradisional serta pengetahuan mereka mengenai hutan. Ini secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi komuniti setempat melalui aktiviti pelancongan.

Antara jeram yang sentiasa menggamit kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara adalah Lubuk Siku.

“Taman Negeri Rompin bukan sahaja menjadi destinasi pelancongan, tetapi juga pusat pendidikan alam sekitar yang penting.

“Pengunjung berpeluang mempelajari tentang ekosistem hutan hujan tropika serta kepentingan pemuliharaan biodiversiti,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri Pahang turut memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur asas di kawasan tersebut bagi meningkatkan keselesaan pelancong tanpa menjejaskan kelestarian alam.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk laluan yang lebih selamat, kawasan perkhemahan serta pusat informasi pelawat.

-RI

Tinggalkan komen anda