
Laporan/foto: Shah Hood/Facebook Polis Johor
JOHOR BAHRU, 3 April (MalaysiaAktif) – Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.24 juta dalam serbuan di dua lokasi di sekitar Seri Alam dan Johor Bahru pada 30 hingga 31 Mac lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata tujuh individu iaitu lima warga tempatan termasuk seorang wanita, seorang lelaki warga Singapura dan seorang wanita warga Vietnam berusia 31 hingga 60 tahun turut ditahan.
“Polis merampas 9.74 kilogram dadah pepejal dan 2.4 liter cecair, termasuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA), ekstasi, Erimin 5 dan syabu, dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM1.3 juta.
“Sindiket ini menggunakan apartmen gated and guarded (berpagar dan berpengawal) sejak Oktober 2025 untuk membungkus dan menyimpan dadah sebelum diedarkan,” katanya pada sidang media, di sini semalam.
Beliau berkata warga asing yang ditahan berperanan membungkus semula dadah dan mencari pelanggan termasuk di pusat hiburan, manakala salah seorang suspek lelaki warga tempatan bertindak sebagai koordinator sindiket.
“Bekalan dadah diperoleh dari luar Johor sebelum dibawa ke apartmen berkenaan untuk diproses dan diedarkan, dipercayai boleh digunakan oleh 33,000 penagih,” katanya.
Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan aktiviti pengedaran dadah dengan semua suspek akan disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.
-RI





