Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

PPD Machang Ungguli Pencapaian Terbaik SPM 14 Tahun Berturut-turut

By 30 April 2026Mei 2nd, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zulfadli Ab Hamid (Machang)

MACHANG, 30 April (MalaysiaAktif) – Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Machang terus melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mengungguli dan mengekalkan prestasi pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Negeri Kelantan 2025.

Kejayaan luar biasa ini sekali gus mengangkat PPD Machang sebagai antara daerah paling konsisten dalam pendidikan dengan mencatat prestasi terbaik di peringkat negeri selama 14 tahun berturut-turut.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan (Sektor Perancangan dan Pengurusan), Azhan Anuar berkata pencapaian membanggakan itu adalah hasil usaha bersepadu barisan pentadbir sekolah, guru, pelajar serta sokongan berterusan ibu bapa dan komuniti setempat.

“Kecemerlangan ini dibina melalui perancangan strategik jangka panjang, budaya kerja berprestasi tinggi serta komitmen berterusan warga pendidik di semua sekolah dalam daerah ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Apresiasi Sijil Penghargaan Kecemerlangan SPM 2025 Peringkat PPD Machang di Dewan Sri Permata, Tok Bok, di sini, hari ini.

Menurut beliau, antara faktor utama kejayaan ialah pelaksanaan program intervensi akademik berfokus, pemantauan prestasi pelajar secara berterusan serta pendekatan pengajaran inovatif selari keperluan semasa. Kolaborasi strategik dengan agensi luar turut menyumbang kepada pengukuhan kualiti pendidikan daerah.

Dalam keputusan SPM 2025 yang diumumkan baru-baru ini, Machang sekali lagi mencatat peningkatan dari segi Gred Purata Daerah (GPD) 4.0 dan peratusan calon Layak Mendapat Sijil (LMS) mencapai 99.29%, sekali gus mendominasi pencapaian terbaik daerah dan negeri Kelantan.

PPD Machang komited untuk meneruskan momentum kecemerlangan ini selaras aspirasi Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035.

-AA-

Tinggalkan komen anda