Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Akses Kewangan Lebih Mudah, Agrobank Buka Cawangan di Kuala Perlis

By 30 April 2026Mei 3rd, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KUALA PERLIS, 30 April (MalaysiaAktif) – Pembukaan cawangan baharu Agrobank di sini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh akses kewangan inklusif serta merancakkan pembangunan ekonomi negeri Perlis, khususnya di kawasan pesisir utara.

Perkara tersebut dizahirkan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika bertitah di Majlis Perasmian Agrobank Cawangan Kuala Perlis, di sini hari ini.

“Kehadiran cawangan ini bukan sahaja memudahkan komuniti setempat mendapatkan kemudahan pembiayaan, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan aktiviti ekonomi serta memperkukuh kedudukan Kuala Perlis sebagai antara pintu gerbang utama negeri ini.

“Langkah ini mencerminkan kesungguhan dalam memperkasa pembangunan modal insan melalui akses yang lebih luas kepada sokongan kewangan. Ia mampu membentuk generasi muda yang lebih berpengetahuan, berkemahiran serta berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa hadapan,” titah baginda.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akshah Khalil dan anakanda kedua baginda, Yang Amat Mulia Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Hadir sama, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Dalam pada itu, baginda menyeru masyarakat, khususnya pengusaha sektor pertanian, perikanan dan industri asas tani agar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan.

Antara perkhidmatan yang diketengahkan ialah kemudahan Ar-Rahnu Agrobank yang diperkenalkan sebagai projek perintis di Kuala Perlis, menawarkan akses tunai cepat, mudah serta patuh syariah.

-AA-

Tinggalkan komen anda