
Laporan/foto: Sunday Grace Justimus/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Penampang)
PENAMPANG, 1 Mei (MalaysiaAktif) – Pertandingan nyanyian tradisional Sugandoi menjadi platform utama dalam memartabatkan warisan budaya Sabah serta membentuk jati diri generasi muda.
Johan Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025, Kimberley Myra Terence Terry, 25, berkata, keunikan pertandingan tersebut terletak pada kepelbagaian bahasa etnik Kadazandusun Murut Rungus (KDMR).
Menurut Kimberley, Sugandoi bukan sekadar pertandingan vokal malah membawa elemen penceritaan dan nilai murni yang menjadi asas pembentukan identiti masyarakat tempatan.
“Sugandoi memperlihatkan keindahan bahasa serta kisah kehidupan masyarakat Sabah yang disampaikan melalui lagu dan warisan budaya,” katanya dalam program iNSPO Jabatan Penerangan Sabah, di sini kelmarin.
Beliau menjelaskan bahawa generasi muda memikul tanggungjawab besar bagi memastikan kelangsungan budaya tersebut agar tidak ditelan arus pemodenan.
Katanya, lagu tradisi Sabah perlu dihargai dan dipelihara bagi mengelakkan khazanah seni tersebut hilang pada masa hadapan.
“Jika bukan generasi muda yang meneruskan, budaya ini boleh lenyap memandangkan muzik merupakan medium komunikasi yang sangat berkesan,” ujarnya.
Kimberley turut menyifatkan penglibatan dalam bidang seni suara tradisional sebagai usaha memperkenalkan pakaian tradisi serta keunikan budaya Sabah kepada pelancong antarabangsa.
Beliau turut menasihatkan peserta yang ingin menceburi bidang ini supaya membuat persediaan rapi dari segi kemampuan vokal serta penjagaan kesihatan yang konsisten.
“Jangan takut untuk mencuba kerana setiap kejayaan besar sentiasa bermula daripada langkah kecil yang berani,” jelasnya lagi.
-RJ-





