Skip to main content
Berita TempatanSabah

Program Jom Baca Bersama 10 Minit Semai Budaya Ilmu

By 24 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki/Hendry Nurdin (Tawau)

TAWAU, 24 April (MalaysiaAktif) – Usaha membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat terus diperkasa menerusi Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2026 yang berlangsung serentak di seluruh negara, semalam.

Program anjuran Perpustakaan Sabah Cawangan Tawau dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Tawau itu berjaya menghimpunkan 350 peserta melibatkan pelajar, guru serta ibu bapa daripada 20 sekolah di sekitar daerah ini.

Ahli Parlimen Kalabakan Andi Muhammad Suryady Bandy berkata budaya membaca perlu dipupuk sejak usia muda bagi memastikan generasi akan datang tidak ketinggalan dalam arus perkembangan ilmu.

“Asas kepada ilmu pengetahuan bermula dengan membaca, justeru budaya ini perlu dibiasakan sejak kecil agar masyarakat kita tidak kekok dan sentiasa dahagakan ilmu,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Perpustakaan Daerah Tawau, di sini semalam.

Menurut Andi Muhammad Suryady, program yang diperkenalkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia sejak 2014 itu wajar terus disokong semua pihak kerana impaknya besar dalam membentuk masyarakat berilmu.

“Saya menyeru agar semua pihak termasuk sektor swasta turut memainkan peranan dan tidak hanya bergantung kepada sektor awam dan pendidikan semata-mata,” jelasnya.

Beliau turut menekankan kepentingan transformasi digital dalam sektor perpustakaan bagi menarik minat generasi muda selain galakan penuh daripada ibu bapa sebagai pemangkin utama minat membaca.

Andi Muhammad Suryady menjelaskan bahawa pendigitalan bahan bacaan akan memudahkan akses serta menjadikan sistem penyimpanan lebih tersusun dan efisien seiring dengan peredaran zaman.

-RJ-

Tinggalkan komen anda