Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Projek Hidroponik KRT Kampung Petanak Seri Pemangkin Ekonomi Komuniti Mukah

By 20 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun /Al Affiq Jul (Mukah)

MUKAH, 20 April (MalaysiaAktif) – Projek sayuran hidroponik yang dilaksanakan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Petanak Seri menjadi pemangkin peningkatan ekonomi komuniti setempat.

Pengerusi KRT Petanak Seri Noorazah Tiffani Abdullah berkata Projek Sayuran Hidroponik RT Progresif merupakan inisiatif di bawah bidang Ekonomi dan Sara Hidup bagi membantu komuniti menjana pendapatan tambahan.

Projek yang bermula pada Januari lepas itu melibatkan penyertaan aktif penduduk dengan kos permulaan sebanyak RM3,186 merangkumi pembelian peralatan, benih serta keperluan asas pertanian.

Sayur Sawi Putih merupakan salah satu jenis tanaman sayur berdaun yang dikeluarkan oleh Tapak Tapak Tanaman Hidroponik KRT Petanak Seri.

“Projek ini bukan sahaja memberi peluang kepada ahli menjana pendapatan malah menyediakan bekalan sayur segar pada harga berpatutan kepada penduduk setempat,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini kelmarin.

Noorazah menjelaskan tanaman yang diusahakan terdiri daripada sayuran berdaun berkualiti tinggi yang menggunakan kaedah pertanian moden serta bebas daripada pencemaran tanah.

Hasil tanaman tersebut bukan sahaja memenuhi keperluan penduduk kampung malah turut dipasarkan ke luar kawasan bagi memperluaskan potensi pasaran projek berkenaan.

Pasukan projek memanfaatkan platform digital seperti WhatsApp dan Facebook untuk tujuan promosi, tempahan serta makluman stok secara pantas kepada pelanggan.

“Pendekatan digital ini memudahkan kami berhubung terus dengan pembeli sekali gus melancarkan urusan jual beli secara lebih sistematik,” katanya.

Noorazah memberitahu projek tersebut turut menjadi platform pembelajaran kepada komuniti mengenai teknik pertanian moden serta menggalakkan perkongsian kemahiran baharu.

Beliau berharap inisiatif berkenaan terus berkembang dan menjadi contoh kepada KRT lain dalam melaksanakan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda