
Laporan/foto: Nor Haliza Ridzuan/Najmi Ariffin
SEBERANG JAYA, 20 April (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Pulau Pinang terus memperkukuh kesiapsiagaan dalam mendepani ancaman bencana bahan berbahaya yang berpotensi mengancam nyawa serta memberi kesan besar kepada kestabilan ekonomi negeri.
Timbalan Ketua Menteri 1 Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata penganjuran Latihan Simulasi Bencana Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Letupan (CBRNE) serta Bahan Berbahaya (Hazmat) Tahun 2026 memastikan kesiapsiagaan negeri sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Beliau berkata latihan itu juga selaras dengan aspirasi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang negeri yang lebih selamat, berdaya huni dan mampan.
pandang ringan kerana kesannya bukan sahaja menjejaskan keselamatan mangsa, malah berpotensi melumpuhkan ekonomi setempat.
“Objektif utama latihan ini adalah untuk meningkatkan kecekapan serta memperkukuh koordinasi antara agensi dalam menghadapi kemungkinan kebocoran paip gas di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap risiko bencana,” katanya, di sini kelmarin.
Latihan bersepadu itu melibatkan 34 agensi daripada sektor kerajaan, badan berkanun, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan penyertaan keseluruhan seramai 600 petugas termasuk 256 anggota pasukan tindak balas serta penggunaan 269 aset operasi.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Dato’ Seri Zulkifli Long berkata merujuk kepada kejadian di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April tahun lalu, insiden berkaitan CBRNE merupakan antara situasi paling kritikal yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.
“Di Pulau Pinang sendiri terdapat paip gas yang menghala ke Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perai dan melalui kawasan perumahan padat. Justeru, keperluan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan adalah amat penting,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr. Abdul Gapar Abu Bakar serta Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) negeri Muhamad Ghopran Yeop Hamzah.
-RI





