
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 20 April (MalaysiaAktif) – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru seluruh rakyat negeri ini agar terus mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kehidupan seharian.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kiri) turut berkenan menyertai acara fun walk sejauh tiga kilometer bersama rakyat jelata
Menurut baginda, tubuh badan yang sihat dan akal yang cerdas merupakan amanah Tuhan yang perlu dipelihara dengan sebaiknya, dan kesihatan bukan sekadar bebas daripada penyakit, malah merangkumi kesejahteraan menyeluruh dari segi fizikal, mental dan sosial.
“Rakyat yang sihat adalah aset negara paling berharga dan menjadi nadi kepada kemakmuran serta kestabilan negeri Perlis yang kita cintai,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Hari Aktiviti Fizikal Sedunia dan Karnival Kecergasan Zon Utara 2026 yang berlangsung meriah di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, di sini semalam.
Baginda turut menekankan bahawa untuk kekal aktif, masyarakat tidak perlu mengeluarkan kos yang tinggi atau memiliki peralatan canggih.
Sebaliknya, negeri Perlis sendiri menawarkan keindahan alam semula jadi seperti kawasan bukit, sawah padi yang menghijau dan taman rekreasi yang boleh dimanfaatkan sebagai gimnasium semula jadi.
-AA-





