
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)/Facebook Polis Daerah Iskandar Puteri
JOHOR BAHRU, 22 April (MalaysiaAktif) – Polis menahan 10 lelaki termasuk seorang warga tempatan yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan migran dalam dua operasi di sekitar Tanjung Kupang, di sini Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M. Kumarasan berkata dalam serbuan pertama antara pukul 5.30 pagi hingga 6.30 pagi di sebuah stor rumah, dua migran warga Indonesia berusia 32 hingga 47 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta seorang lagi lelaki warganegara sama selaku tekong darat ditahan.
“Polis kemudiannya menahan seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai penjaga rumah penampungan di situ. Suspek didapati turut mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata dalam serbuan kedua pada pukul 6.45 pagi di jeti Tanjung Kupang, pihaknya menahan enam lelaki warga Indonesia melibatkan empat migrain serta seorang tekong laut dan seorang penjaga pantai disyaki terkait kegiatan sama.
Kumarasan berkata kesemua migran ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 sehingga 2 Mei, manakala tekong darat, penjaga rumah penampungan, tekong laut dan penjaga pantai ditahan sehingga 16 Mei di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Tambahnya, polis turut merampas enam unit telefon bimbit, sebuah kereta dan motosikal, sebuah bot fiber dan sebuah enjin bot serta wang tunai berjumlah RM8,340 hasil kedua-dua operasi.
-FN





