Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Kolej Komuniti Taiping Ungguli IMInE 2026, Rangkul Naib Juara Keseluruhan

By 15 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: SitiHajar/Kolej Komuniti Taiping

IPOH, 15 April (MalaysiaAktif) – Kolej Komuniti Taiping (KK Taiping) merangkul pelbagai anugerah utama dalam International Millennipreneur Innovation and Commercialization Exhibition 2026 (IMInE 2026) yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 12 April yang lalu di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

KK Taiping bersama produk inovasi mereka ‘Ulurmask Aura Semalu’.

Acara ini merupakan platform bagi para inovator muda, usahawan, dan pelajar dari seluruh rantau ASEAN untuk membentangkan idea serta produk mereka kepada wakil industri dan pelabur.

Pengarahnya Aznur Anuar Ab Azid berkata kejayaan itu hasil usaha kolektif dan komitmen tinggi seluruh pasukan dalam membudayakan inovasi dalam kalangan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar KK Taiping bukan sahaja kompeten dari segi kemahiran teknikal, malah mampu berfikir secara kreatif dan inovatif sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, pencapaian itu selari dengan aspirasi institusi untuk melahirkan graduan TVET yang berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Pasukan di bawah bimbingan Nor Faizah Hassan tampil cemerlang menerusi pembentangan produk inovasi Ulurmask Aura Semalu dan membawa pulang gelaran Naib Juara Keseluruhan serta wang tunai RM1,500.

Produk inovasi tersebut turut membawa pulang wang jumlah terkumpul sebanyak RM2,500 apabila dinobatkan sebagai Juara Kategori Servis serta menerima tiga anugerah khas lain iaitu Idea Inovasi Terbaik, Prototaip Terbaik, dan Ruang Pameran Terbaik.

-RI

Tinggalkan komen anda