Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Usahawan Lubok Antu Jana Pendapatan Menerusi Jualan Salai Ikan

By 22 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nyempal Inggang (Lubok Antu)

LUBOK ANTU, 22 April (MalaysiaAktif) – Usaha gigih seorang wanita tempatan dalam perusahaan salai ikan miliknya di sini membuahkan hasil apabila mampu menjana pendapatan kasar mencecah ribuan ringgit sebulan terutama pada musim perayaan atau cuti persekolahan.

Darie Mugguk, 52, yang dibantu suaminya, Asat Bayong, 57, memulakan perniagaan salai ikan secara kecil-kecilan pada tahun 2018 sebelum berkembang menjadi sumber rezeki utama keluarga.

Antara produk utama yang dihasilkan ialah salai ikan tilapia, ikan baong dan ikan keli yang dijual pada harga RM45 sekilogram dan permintaan terhadap produk tersebut katanya meningkat ketara terutama pada hujung minggu serta musim perayaan.

“Lokasi perniagaan yang strategik turut menjadi faktor penyumbang kepada perkembangan jualan kami,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini semalam.

Menurut suaminya, Asat, kejayaan yang dicapai adalah hasil usaha berterusan, disiplin serta sokongan keluarga di samping kepercayaan pelanggan.

Pasangan itu turut berhasrat mengembangkan perniagaan dengan membina gerai makanan berasaskan ikan tilapia merah Batang Ai yang menjadi ikon kawasan tersebut.

Kejayaan Darie membuktikan perusahaan salai ikan di peringkat kampung berpotensi menjadi sumber pendapatan stabil sekiranya diurus dengan konsisten, menitikberatkan kualiti serta bijak merebut peluang pasaran.

-FN

Tinggalkan komen anda