
Laporan/foto: Syaiful SAS (Rompin)/Lembaga Pembangunan Tioman
ROMPIN, 8 April (MalaysiaAktif) – Gunung Nenek Semukut di Pulau Tioman kini semakin mendapat perhatian sebagai lokasi pendakian ekstrem yang unik.
Terletak di selatan pulau, pada ketinggian 703 meter dari aras laut, Gunung Nenek Semukut yang lebih dikenali sebagai Dragon Horns, kini semakin popular sebagai ikon semula jadi yang mencabar keupayaan fizikal dan mental pendaki.

Dragon Horns menjadi salah satu daya tarikan terbaru bagi penggemar sukan ekstrem di Pulau Tioman yang lazimnya terkenal dengan aktiviti selam skuba bertaraf dunia.
Tarikan utama yang mengangkat profil gunung ini adalah pengenalan via ferrata atau ‘laluan besi’ dalam bahasa Itali, yang tertinggi di Semenanjung Malaysia.
Via ferrata yang merentangi jurang di antara bongkah batu besar bukan sahaja menguji keberanian pendaki, malah disajikan panorama Laut China Selatan yang terbentang luas dari sudut pandang 360 darjah.
Menurut wakil Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) Nazratul Azra Tukiran, pembangunan produk pelancongan seperti via ferrata ini mampu menarik segmen pelancong baharu.
“Kami melihat potensi besar dalam aktiviti pelancongan berasaskan cabaran seperti ini, khususnya dalam menarik peminat sukan ekstrem dari dalam dan luar negara ke Pulau Tioman,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.

Aksi para pendaki di via ferrata tertinggi di Semenanjung Malaysia bukan sekadar menguji fizikal malah mental.
Berbeza dengan pendakian konvensional, laluan ini dilengkapi kabel keluli, tangga besi serta via ferrata yang dipasang terus pada permukaan batu granit curam, memberikan pengalaman mendaki yang lebih teknikal dan mendebarkan.
Pendakian ke lokasi ini lazimnya bermula dari Kampung Mukut mengambil masa antara dua hingga tiga jam sebelum tiba di titik permulaan via ferrata.
Namun, aktiviti ini bukan untuk semua kerana ia memerlukan tahap kecergasan tinggi serta pematuhan kepada aspek keselamatan termasuk penggunaan peralatan khas dan khidmat malim gunung bertauliah.
Secara keseluruhannya, Dragon Horns bukan sekadar destinasi, tetapi satu pengalaman luar biasa yang menggabungkan keindahan alam dan cabaran ekstrem dalam satu pakej yang sukar dilupakan.
-RI





