
Laporan/Foto : Salleh Immun (Mukah)/IPD Mukah
MUKAH, 16 Mei (MalaysiaAktif) – Program Kepolisan Komuniti dan ‘Meet and Greet’ anjuran AMANITA Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah terus memperkukuh hubungan antara polis dan masyarakat menerusi pendekatan mesra komuniti di Rumah Panjang Tinting Tapang, Sungai Meruan, Jalan Dijih, Selangau, di sini semalam.
Program itu melibatkan lima anggota AMANITA IPD Mukah diketuai Inspektor Song Ching Leng dengan penyertaan aktif komuniti setempat khususnya golongan wanita dan suri rumah.
Song ketika berucap berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu keselamatan semasa selain memperkasakan peranan komuniti dalam membantu pihak polis membanteras jenayah di kawasan setempat.
“Kes penipuan dalam talian semakin meningkat dan masyarakat perlu mengetahui saluran yang betul untuk mendapatkan bantuan dengan segera. Talian 997 diwujudkan khusus bagi membantu mangsa penipuan kewangan agar tindakan pantas dapat diambil,” katanya.
Antara pengisian utama program ialah penerangan mengenai kewujudan National Scam Response Centre (NSRC) serta talian hotline 997 bagi membantu mangsa penipuan dalam talian membuat laporan dan mendapatkan tindakan segera.
Selain itu, komuniti rumah panjang turut digalakkan memuat turun aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) sebagai medium penyaluran maklumat berkaitan jenayah dan keselamatan kepada pihak polis.
Song menjelaskan, penggunaan aplikasi VSP dapat membantu masyarakat menyalurkan maklumat dengan lebih cepat dan efektif selain mengukuhkan kerjasama strategik antara polis dan komuniti.
Program itu turut menekankan aspek keselamatan wanita agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon penipuan, sindiket ‘scammer’ serta tawaran pelaburan meragukan yang banyak dipromosikan menerusi media sosial.
“Golongan wanita khususnya suri rumah sering menjadi sasaran sindiket penipuan kerana mereka mudah dipengaruhi dengan tawaran yang kelihatan meyakinkan.
“Oleh itu, kesedaran dan pengetahuan amat penting bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa,” katanya.
-RJ-





