
Laporan/Foto : Lydia Humphery Tungkat / Lee Nyuk Lan (Sarawak)
KUCHING, 16 Mei (MalaysiaAktif) – Baju Kuas terus menjadi lambang identiti dan warisan masyarakat Iban Balau meskipun tekstil tradisional itu kurang mendapat perhatian berbanding pakaian etnik lain di Sarawak.
Warisan tradisional dari Sri Aman itu sinonim dengan komuniti Iban Balau yang mendiami kawasan Pantu, Lachau, Banting, Lingga, Undop dan sekitarnya.
Menurut sejarah, komuniti tersebut berasal daripada penghijrahan Gelungan bersama pengikutnya dari Merakai, iaitu anak sungai di Kapuas sebelum menetap di Bukit Balau.
Baju Kuas suatu ketika dahulu hanya dipakai wanita Iban Balau yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat kerana nilai dan statusnya yang eksklusif.
Kostum tradisional berbentuk segi tiga dari kain baldu hitam itu menjadi pelengkap Ngepan Iban bagi menutupi bahagian atas badan wanita ketika sambutan Gawai Dayak, majlis perkahwinan, pertandingan ngajat dan pelbagai upacara adat.
Penggiat seni sulaman Baju Kuas dari Banting, Julia James, 72, berkata penghasilan pakaian tradisional tersebut memerlukan penelitian tinggi serta kemahiran seni halus.
“Motif sulaman yang sering digunakan ialah bentuk ranting, daun pakis dan bunga flora yang terlebih dahulu dilakarkan pada sekeping kertas pola sebelum ditekap dan dilukis semula pada kain baldu hitam,” katanya kepada Malaysia Aktif, semalam.
Menurut beliau, benang emas menjadi pilihan utama kerana memberikan nilai eksklusif dan keunikan tersendiri selain dijahit secara teliti bagi menghasilkan efek tiga dimensi (3D).
“Setiap Baju Kuas dihasilkan menggunakan teknik sulaman jarum sepenuhnya tanpa penggunaan gam walaupun melibatkan manik serta labuci,” jelasnya.
Kehalusan sulaman itu katanya menjadikan setiap helai Baju Kuas bernilai sekitar RM1,500 selain menggunakan kain baldu hitam berkualiti tinggi yang tahan lama dan tidak mudah pudar.
Baju Kuas hasil sulaman beliau turut dipamerkan dalam pertunjukan fesyen All About Arts sempena Jelajah Festival WAK Sibu dan WAK Miri bersama Pertubuhan Penggiat Kesenian dan Kraftangan Sarawak (Society Atelier Sarawak).
Seiring perubahan zaman, rekaan Baju Kuas kini diinovasikan dengan penggunaan warna seperti biru, perak, merah dan merah jambu tanpa menjejaskan identiti asalnya.
Usaha memelihara warisan tersebut diteruskan menerusi bengkel pembuatan Baju Kuas serta penubuhan jenama KUAS by Julia James bagi memastikan warisan masyarakat Iban Balau terus dipelihara.
-RJ-








