
Laporan/foto: Akmar Zulkifli/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 6 Mei (MalaysiaAktif) – Anugerah Sukan Pahang yang berlangsung semalam menghimpunkan atlet, jurulatih serta penggiat sukan yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama negeri Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan tertinggi peringkat negeri terhadap pengorbanan dan kejayaan atlet.
“Anugerah ini merupakan lambang martabat serta warisan kecemerlangan yang harus terus dipertahankan. Ia juga merupakan pentas pengiktirafan tertinggi dalam arena sukan negeri, yang mengangkat keunggulan, dedikasi dan pencapaian luar biasa para atlet, jurulatih serta penggerak sukan yang telah mengharumkan nama negeri Pahang di persada kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berkenaan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini semalam.
Menurut Fadzli, penganjuran anugerah ini telah membuka ruang lebih luas kepada bakat-bakat baharu untuk diketengahkan.
“Sejak tahun 2006, penganjuran Anugerah Sukan Pahang dilaksanakan secara dwi-tahunan bagi memberi ruang yang lebih luas kepada pencalonan bakat-bakat berpotensi dari seluruh pelosok negeri untuk dinilai, diketengahkan dan diberi pengiktirafan sewajarnya,” katanya.
Majlis berkenaan turut disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Sebanyak empat kategori utama dipertandingkan iaitu Anugerah Olahragawan Harapan, Olahragawati Harapan, Olahragawan dan Olahragawati, melibatkan pencalonan seramai 20 atlet.
-AA-





