Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Dapur Sentral Bantu PMKS Tingkatkan Kualiti Produk

By 6 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abdul Waasiek Ahmad Fikri/Pejabat Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 6 Mei (MalaysiaAktif) – Program Pembangunan Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Dapur Sentral Pulau Pinang diyakini mampu membantu usahawan tempatan meningkatkan kapasiti pengeluaran, kualiti produk serta menembusi pasaran lebih luas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan Pulau Pinang Dato’ Rashidi Zinol berkata inisiatif itu menyediakan kemudahan dapur komersial, bimbingan teknikal, pengurusan kewangan, pembungkusan, promosi serta akses pasaran kepada usahawan.

Menurut Rashidi kemudahan yang mematuhi standard Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MesTI) dan piawaian halal itu mampu meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk keluaran usahawan PMKS.

“Dapur Sentral ini membolehkan usahawan menghasilkan produk yang lebih bersih, berkualiti dan menepati standard pasaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pembangunan Usahawan PMKS Dapur Sentral Pulau Pinang, di sini semalam.

Program rintis tersebut melibatkan 40 usahawan selama 18 bulan di bawah pemantauan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sebelum diteruskan di bawah seliaan WAKAF Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

Inisiatif itu merupakan kerjasama strategik antara NCER dan Hong Leong Islamic Bank Berhad dengan sokongan Bank Negara Malaysia melalui program pembiayaan iTEKAD.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato’ Seri Utama Ramli Ngah Talib dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Mohamad Haris Kader Sultan.

-RI

Tinggalkan komen anda