Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

APM Terengganu Tekan Pematuhan Prosedur, Pengurusan Aduan Awam

By 14 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin/APM Dungun (Terengganu)

DUNGUN, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Terengganu menekankan aspek disiplin penyampaian maklumat, pengurusan aduan awam serta pematuhan prosedur operasi dalam usaha memperkukuh mutu perkhidmatan kepada masyarakat.

Pengarah APM Negeri Terengganu Yang Setia Leftenan Kolonel Pertahanan Awam Mohd Zul Khairi Shamsuddin berkata, penggunaan media sosial rasmi APM perlu dilaksanakan secara berhemah dan mematuhi garis panduan ditetapkan bagi memastikan penyampaian maklumat kepada orang awam lebih tepat serta berkesan.

Menurutnya, pengurusan aduan awam turut diberi perhatian bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan masyarakat dapat ditangani dengan lebih cekap dan profesional.

“Pematuhan terhadap arahan tetap Ketua Pesuruhjaya APM juga penting bagi memastikan setiap anggota melaksanakan tugas mengikut prosedur serta standard yang telah ditetapkan,” katanya ketika berucap pada Program Sesi Townhall bersama Pengarah APM Negeri Terengganu di Dewan Utama, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu Kampus Dungun, di sini, Isnin lalu.

Beliau berkata sesi townhall itu bukan sahaja menjadi medium penyampaian maklumat semasa berkaitan pengurusan dan pengoperasian APM, malah platform memperkukuh hubungan antara kepimpinan dan anggota di peringkat akar umbi.

Katanya, program tersebut turut membuka ruang kepada anggota untuk mengemukakan pandangan serta cadangan penambahbaikan menerusi sesi soal jawab yang diadakan.

Program berkenaan menghimpunkan warga APM daripada pelbagai daerah di Terengganu dan diharap dapat memperkukuh semangat berpasukan, meningkatkan profesionalisme serta memperkasakan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

-RI

Tinggalkan komen anda