
Laporan/foto: Mohd Hairie Izwan/Abidin A. Ghani (Terengganu)
KUALA NERUS, 20 Mei (MalaysiaAktif) – Keunikan aroma asap dan tekstur lembut roti yang dibakar menggunakan kaedah tradisional terus menjadi tarikan pelanggan di sebuah premis roti warisan di Jalan Bukit Datu, Kampung Bukit Tunggal yang kekal bertahan sejak lebih lima dekad lalu.
Perusahaan roti yang mula beroperasi pada tahun 1970 itu kini diteruskan oleh generasi kedua, Ramly Embong, 65, selepas diasaskan oleh arwah bapanya dan berkembang daripada perusahaan kecil keluarga kepada perniagaan yang mampu menggaji lima pekerja tempatan.
Premis berkenaan beroperasi enam hari seminggu bermula jam 11 pagi hingga 1 petang dan ditutup pada setiap Jumaat.
Menurut Ramly, kaedah pembakaran menggunakan kayu masih dikekalkan bagi memastikan keaslian rasa dan aroma roti terus menjadi identiti utama premis tersebut.
“Kami masih guna cara tradisional kerana pelanggan mencari rasa asli yang sukar diperoleh pada roti moden,” katanya.
Sementara itu, pelanggan dari Shah Alam, Suraya Majid, 48, berkata beliau tidak pernah melepaskan peluang singgah membeli roti di premis berkenaan setiap kali pulang ke Pantai Timur kerana tertarik dengan aroma asap dan tekstur roti yang berbeza berbanding kebanyakan roti moden.
“Roti di sini ada rasa dan aroma tersendiri, sebab itu saya akan singgah beli setiap kali balik kampung,” katanya.
Usaha mengekalkan kaedah pembuatan tradisional itu bukan sahaja mempertahankan warisan kulinari tempatan, malah menjadikan Kedai Roti Dapo Kayu terus dikenali sebagai antara ikon makanan tradisional di daerah ini.
-AA-





