
Laporan/foto: Mohd Zahairi Ahmad Zabidi (Johor)/ Sinar Daily
MERSING, 20 Mei (MalaysiaAktif) – Usaha membawa pulang tiga ekor gajah Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dari Zoo Tennoji di Osaka, Jepun tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana perlu melalui beberapa proses serta prosedur yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata aspek kebajikan dan keselamatan haiwan terbabit juga perlu diambil kira bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.
“Bukan maknanya hari ini kita nak bawa balik, esok sudah boleh bawa balik. Selain itu, kita juga ada perjanjian di antara Zoo Taiping and Night Safari (ZTNS) serta Zoo Tennoji.
“Justeru, perkara ini perlu diambil kira dan diteliti dengan cermat,” katanya kepada pihak media selepas merasmikan program Eksplorasi Biodiversiti di Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) Hutan Simpan Lenggor dan Hutan Simpan Mersing di Politeknik Mersing, di sini semalam.
Sebelum ini, Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen mencadangkan supaya satu sesi tinjauan fizikal dilakukan ke atas tiga ekor gajah Asia itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ibrahim berkata program eksplorasi biodiversiti yang berlangsung selama lima hari bermula semalam melibatkan seramai 120 peserta terdiri daripada penyelidik institusi pengajian tinggi (IPT), pegawai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai pakar bidang berkaitan.
Menurut beliau, penganjuran program eksplorasi tersebut bertujuan memahami kefungsian dan ketersambungan hutan serta koridor ekologi, selain membantu usaha pemeliharaan habitat dan pengurusan sumber biodiversiti secara lebih bersepadu dan mampan.
-AA-






