Skip to main content
Rencana & Pendapat

Penternakan Ikan Kelah Komersial Jadi Kebanggaan Gua Musang

By 20 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noziryati Yusoff@Ibrahim/Muhammad Amirul Faisal Rostan (Gua Musang)

GUA MUSANG, 20 Mei (MalaysiaAktif) – Bermula dengan minat mendalam terhadap khazanah sungai tempatan, usaha penternakan ikan kelah secara komersial yang diusahakan oleh Mat Nawi Hussin kini menjadi antara kejayaan membanggakan industri akuakultur luar bandar di daerah ini.

Lebih dikenali sebagai Pok Wi, 65, beliau merupakan antara perintis yang memulakan penternakan spesies ikan air tawar premium itu sejak era 1980-an.

Menurut Pok Wi, pada peringkat awal, sistem ternakan dibangunkan secara tradisional dengan menggunakan saliran air graviti dari kaki bukit berhampiran rumah bagi memastikan bekalan air bersih, sejuk dan kaya oksigen sentiasa mengalir ke kolam ternakan.

“Penternakan moden kini melibatkan penggunaan kolam simen dan sistem sangkar sungai bagi mengawal tumbesaran ikan serta mengekalkan kualiti air yang menyerupai habitat semula jadi,” katanya.

Sehingga kini, kolam ternakannya menempatkan kira-kira 6,500 ekor ikan kelah pelbagai saiz, sekali gus membuktikan potensi industri ini sebagai sumber ekonomi luar bandar yang mampan.

Hari ini, ikan kelah menjadi antara spesies bernilai tinggi dalam pasaran akuakultur dengan permintaan melibatkan sektor makanan, rekreasi dan pelancongan.

Harga pasaran ikan kelah mencecah sekitar RM350 hingga RM400 sekilogram bergantung kepada saiz dan spesies.

Selain menjana pendapatan, penternakan ikan kelah secara komersial turut membantu mengurangkan tekanan terhadap populasi liar. Pok Wi juga menggabungkan konsep agro pelancongan, membolehkan pengunjung melihat sendiri proses pembenihan dan penjagaan ikan kelah.

Namun begitu, beliau mengakui industri ini masih berdepan cabaran termasuk kos makanan yang tinggi, tempoh pembesaran yang panjang serta risiko perubahan cuaca yang menjejaskan kualiti air.

-RI

Tinggalkan komen anda