
Laporan / Foto: Oleh : Muhd Hazimin Abd.Roni/Mohd Sabri Sailus/PedroMax (Sabah)
KOTA KINABALU, 15 Mei (MalaysiaAktif) -Setiap bekalan darah yang diterima pesakit perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) pengurusan darah bagi memastikan kualiti dan keselamatan darah terjamin.
Pembantu Perawatan Kesihatan di Jabatan Perubatan Transfusi, Malik Amit berkata darah yang diperoleh daripada kempen derma darah akan melalui proses sampling sebelum disimpan dan diproses.
“Proses berkenaan penting dalam memastikan kawalan suhu penyimpanan darah berada pada tahap antara 20 hingga 24 darjah Celsius bagi mengekalkan kualiti darah.
“Pengawalan suhu ini penting untuk memastikan darah dapat diproses kepada komponen utama iaitu sel darah merah, platelet dan plasma dengan selamat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Mobile bergerak Jabatan Perubatan Transfusi kerjasama dengan The Luma Hotel, di sini hari ini.
Malik memaklumkan antara cabaran utama petugas derma darah adalah memastikan kawalan suhu darah sentiasa stabil terutama ketika kempen diadakan di lokasi terbuka dan panas.
“Cabaran turut timbul semasa proses penghantaran tong simpanan darah menggunakan kenderaan rasmi Kementerian Kesihatan (KKM) ke hospital,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata cabaran tersebut tidak menghalang petugas memastikan setiap bekalan darah yang dihantar ke hospital berada dalam keadaan berkualiti dan selamat digunakan pesakit.
-RJ-





