
Laporan/foto: Mohd Radzi Yusof (Kuala Krai)
KUALA KRAI, 20 Mei (MalaysiaAktif) – Semangat perpaduan dan integrasi nasional terus diperkukuh menerusi Program Lawatan Integrasi Jiran Muda anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kuala Pertang yang mengadakan lawatan muhibah ke KRT Kondo Rakyat Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.
Program selama dua hari itu melibatkan seramai 40 peserta terdiri daripada Jiran Muda dan ahli jawatankuasa komuniti, bertujuan mengeratkan hubungan merentas negeri serta memperkukuh jaringan kerjasama komuniti.
Rombongan dari Kelantan yang diketuai Pengerusi KRT Kuala Pertang, Adnan Mat Yassin, disambut mesra oleh Pengerusi KRT Kondo Rakyat Darul Iman, Wan Khairul Anuar Wan Umar, sekali gus mencerminkan semangat kekitaan dan persaudaraan serantau.
“Saya berharap program seperti ini dapat diperluaskan ke negeri-negeri lain bagi memupuk semangat kekitaan serta mengukuhkan perpaduan dalam membentuk sebuah negara MADANI yang cemerlang gemilang dan terbilang,” katanya.
Beliau turut berharap agar kerjasama tersebut dapat diteruskan melalui program kolaborasi berimpak tinggi demi melahirkan komuniti yang bersatu padu, prihatin dan harmoni.
Pelbagai aktiviti interaktif dilaksanakan sepanjang program, termasuk perlawanan persahabatan futsal dan sesi perkongsian pengurusan keselamatan kejiranan yang berjaya memupuk ukhuwah serta persefahaman dalam kalangan belia.
-AA-





